Saturday, December 18, 2010

Kes Perak buktikan Speaker boleh dicabar- Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah boleh mengenepikan keputusan Speaker Dun Perak kini bakal makan tuan apabila Pakatan Rakyat mahu mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Oleh itu, pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar oleh mahkamah telah tertolak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Demikian kata peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Mohd Nazri melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah.

Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.

“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Menurut Nazri, telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.

Karpal yang merupakan seorang peguam sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Haji Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.

Bagi Hanipa, Umno telah terbelit dengan tindakannya sendiri apabila seolah-olah membenarkan tindakan Mahkamah Persekutuan campur tangan dalam kes keputusan Speaker Dun Perak V Sivakumar apabila beliau menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco haramnya.

"Adakah Nazri tidak sedar dalam kes Perak, Umno telah menyalahgunakan mahkamah untuk cabar keputusan V Sivakumar, Speaker Dun Perak.

"Bukankah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan Sivakumar sebagai Speaker boleh dicabar. Sekarang kes Perak ini dah makan tuan," kata Hanipa dalam kenyataannya.

Ini kerana, kedudukan Speaker Dun dan Speaker Dewan Rakyat tidak ada bezanya dalam konteks sistem dewan perwakilan di Malaysia. Jika keputusan Speaker Dun boleh dicabar, maka keputusan Speaker Dewan Rakyat juga boleh dicabar.


Gantung: Dewan Rakyat tidak boleh jadi contoh-Harakah Daily


PULAU PINANG, 18 Dis: Akibat tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menjadikan parlimen Malaysia tidak boleh dijadikan contoh kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negara.

Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain ketika ditemui pada program raptai Konvensyen Pakatan Rakyat di Dewan Millenium semalam menegaskan, bukan ia memalukan sistem demokrasi negara malahan menjatuhkan maruah Malaysia di kaca mata dunia.

"Sikap berat sebelah Speaker Dewan Rakyat menggantung Anwar dan tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat selama enam bulan tidak menggambarkan keutuhan sistem demokrasi negara ini bahkan memalukan. Ia langsung tidak boleh jadi contoh kepada Dun di negeri seluruh negara," katanya.

Menurut beliau, sepatutnya Speaker Dewan Rakyat menolak dan tidak patut merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana Anwar telah menjelaskan adanya hubung kait Apco dan 1Israel.

Pihak kerajaan tidak menjawab pertuduhan tersebut dan Speaker pula terus bertindak membuat keputusan penggantungan tanpa memanggil membela diri cuma berdasarkan alasan Apco bahawa mereka tidak terlibat dengan 1Israel.

Sekali lagi imej Malaysia tercemar ekoran tindakan yang tidak adil semata-mata tidak mahukan Ketua Pembangkang terus mencetuskan perkara yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Selepas ini, katanya sahlah Malaysia tercorot dalam sistem demokrasi berbanding negara Komanwel yang lain bahkan kebelakang dari negara Afrika, Zimbabwe dan sebagainya.

"Sudahlah tercemar dari sistem kehakiman, ekonomi, kini giliran demokrasi terus parah akibat tindakan yang tidak bijak," kata beliau.

Tiga ahli Parlimen Pakaran Rakyat yang turut dikenakan hukuman sama dengan Anwar ialah Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan R. Sivarasa (PKr-Subang).

Ambil pedoman Al Quran sepakatkan Pakatan-Harakah Daily


KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

“Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,”ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua,” ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

BERIKUT KENYATAAN PENUH NIK ABDUL AZIZ

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Harapan Konvensyen PR ke-2: Islam sebagai asas

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.

Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103):

Bermaksud: “...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,

Al-Mursyidul Am PAS.

Kota Baharu, Kelantan.

12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.


Umno guna masjid cari pengaruh-Harakah Daily


BUKIT KATIL, 18 Dis: Umno jelas biadap dan tidak beretika apabila terus menggunakan masjid sebagai medan untuk mencari pengaruh.

Selasa lalu, Umno tanpa segan silu memasang bendera Umno dan BN di pagar Masjid Saidina Ali, Bukit Katil untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang hadir untuk merasmikan masjid tersebut.

Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajjah Kintan Man (gambar) berkata sikap Umno ini memang biadap dan tidak sepatutnya berlaku kerana Umno sering kali menuduh PAS mempolitik masjid tetapi pada hakikatnya merekalah yang berbuat demikian.

“PAS tidak pernah menggantung atau memasang bendera atau kain pemidang di pagar masjid, jauh sekali dari menjalankan program parti di masjid, namun apa yang berlaku Umnolah yang melakukan perkara tersebut.

“Apa hak Umno untuk berbuat demikian, kenapa Umno boleh gantung kalau betul mereka mahu masjid bebas dari politik, terbukti mereka mahu menggunakan institusi masjid untuk mencari pengaruh dan mengabui mata rakyat kononnya merekalah pembela Islam” ujar Kintan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kintan berkata Umno sering menuduh PAS menggunakan masjid untuk mencari pengaruh tetapi tuduhan itu tidak pernah dibuktikan, namun begitu Umno sering kali menggunakan masjid untuk menganjurkan program-program parti mereka.

“Tindakan Umno ini umpama menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Melaka menggesa Umno Melaka menghentikan tindakan mereka menggunakan masjid untuk mencari pengaruh.

“Kita bimbang kesucian masjid tercemar dengan perangai dan program anjuran Umno yang kebanyakan bertentangan dengan Islam,” katanya.

Tambahnya, ramai di kalangan wanita Umno dan Puteri Umno tidak menutup aurat dengan sempurna, program mereka pula biasanya melibatkan percampuran lelaki dan wanita yang sudah tentu mencemarkan kesucian masjid.

“Jadi kita harap Umno menghentikan sikap buruk mereka ini serta merta, jangan ulangi lagi kerana ianya jelas mencemarkan Rumah Allah,” ujar Kintan.

Ancak: Nizar cabar 'fatwa' Harussani-Harakah Daily



KUALA LUMPUR, 18 Dis: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (gambar) mencabar penjelasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini, yang tetap mempertahan tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam isu ancak sebagai tidak khurafat.

Nizar yang juga bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat negeri itu berkata, penjelasan yang dibuat Harussani itu tidak lebih dari menjaga kepentingan pihak tertentu.

"Yang saya bangkitkan dalam sidang Dun baru-baru ini ialah saya menuntut penjelasan mufti sama ada upacara yang dilakukan Zambry itu syarie atau tidak.

"Tak kisah la letak ancak ke (kiri), renjis tepung tawar ke, yang penting syarie atau tidak," katanya kepada Harakahdaily semasa dihubungi, hari ini.

Biarpun dipertikai banyak pihak, Harussani seperti dilapor sebuah akhbar hari ini, bertegas bahawa tindakan Menteri Besar BN Perak itu, termasuk merenjis dan menepung tawar dalam upacara memasang ancak tiang seri baru-baru ini adalah amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak.

Penjelasan terbaru itu dibuat Hasrussani selepas Nizar yang juga Adun Pasir Panjang membangkitkan semula perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

"Semasa saya bangkitkan dalam sidang Dun itu, Zambry cuba alih isu kata saya tuduh dia pasang ancak, sedangkan kata dia, dia hanya tepung tawar.

"Saya nak tahu syarie ke tidak, dan kenapa lebih dua bulan baru mufti nak bersuara, dan mengatakan tidak khurafat?" soalnya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendakwa amalan meletakkan ancak tersebut adalah khurafat, bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah si pelakunya.

Isu tersebut juga telah panjangkan oleh Dewan Pemuda PAS Perak kepada Sultan Perak, selaku ketua agama negeri.

Biarpun banyak pihak berpendirian sama, namun hanya Harussani setakat ini dilihat lantang mempertahan tindakan Zambry itu.

Nizar sebelum ini turut mempertikai tindakan Harussani yang dilihat cepat menghukumkan 'haram' kepadanya dan Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim kerana berada di majlis nyalaan lilin sebagai memprotes ketidakadilan dalam kes kematian pembantu exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Lebih malang kata Nizar, tindakan menghukum yang dibuat Harussani itu tanpa mendengar penjelasan dari mereka berdua dahulu.

Berbeza dalam kes Zambry, Harussani katanya dilihat seperti terdesak dalam mengeluarkan 'fatwa'nya sehingga memanggil dan mendengar penjelasan Menteri Besar Perak itu.

Namun menurutnya, hasilnya adalah seperti dijangkakan, iaitu perbuatan Zambry itu 'dihalalkan' oleh Harussani.

Tindakan Harussani itu, katanya lagi bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam di negara ini, malah turut mencalarkan kredibiliti ulamak termasuk mufti.

"Saya waktu isu nyala lilin itu, bukan menteri besar lagi pun.

"Tapi kes Zambry ini kesannya sangat besar sebab dia exco agama, menteri besar lagi, ada doktor falsafah yang didakwa dalam bidang agama dan juga ada penasihat agama.

"Lebih bahaya, perbuatan dia itu dibuat di dalam kawasan kampung yang sekaligus memberi gambaran amalan itu boleh terus diamalkan dan tidak khurafat," katanya.

Selain itu, Nizar juga mahu Harussani menyatakan pendirian berhubung isu Zambry membenarkan bomoh mengasapkan kemenyan di dalam dewan persidangan Dun yang pernah dibangkitkan oleh Khalil Idham.

Khalil Idham kini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan ekoran membangkitkan perkara itu.

SPR TERUS MEMBISU SELEPAS 2 BULAN BANTAHAN – harakah daily

Setelah dua bulan aduan dan bantahan dikemukakan berkaitan pendaftaran pemilih baru yang didakwa berlaku penipuan di Kedah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi membisu tanpa sebarang tindakan.

Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak yang mempertikaikan kredibiliti badan itu berkata pihaknya tidak menerima tindak balas daripada SPR atau dipanggil untuk soal siasat berhubung dakwaan (penipuan) tersebut.

"Bantahan dibuat secara rasmi pada bulan Oktober yang lalu namun pengadu tidak langsung dipanggil untuk siasatan," kata beliau.

Menurut Azizan, pihaknya mendapati pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga yang telah dipamerkan pada 27 Oktober ada unsur penipuan iaitu di beberapa kem tentera yang membabitkan isteri-isteri anggota tentera.

Kata beliau, PAS Kedah mendapati wujudnya nama yang dipamerkan dalam daftar tersebut, menetap di tempat lain tetapi nama mereka didaftarkan dalam kem-kem tersebut sebagai pemilih baru.

Antara kem-kem tentera yang didakwa terlibat ialah Kem Gubir, Kem Bukit Kayu Hitam serta Kompeni Batalion 304 Askar Wataniah di Belantek.

Sebelum ini sikap SPR yang dibidas sebagai lemah dalam melaksanakan tugas mereka turut didedahkan oleh PAS Pulau Pinang apabila sebahagian besar nama isteri-isteri tentera yang sebelum ini sebagai pemilih biasa telah didaftarkan sebagai pengundi pos.

Dalam kawasan Dewan Undangan Teluk Air Tawar penipuan ini turut didakwa berlaku oleh PAS Pulau Pinang apabila sebahagian besar isteri-isteri tentera secara tidak telus dan mengikut prosedur disenaraikan dalam daftar pemilih sebagai pengundi pos.

Tindakan meletakkan nama mereka yang tidak sepatutnya didaftarkan sebagai pengundi pos serta mendaftarkan mereka yang tidak tinggal dalam tempat yang didakwa membuktikan tidak efisiennya SPR.

Malah SPR yang disifatkan sebagai sebuah badan yang sepatutnya berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada mereka juga didakwa tidak berpandukan prosedur yang telah digariskan oleh mereka sendiri.

Friday, December 3, 2010

Fahaman Wahabi Berasaskan Pandangan Ibnu Taimiyyah

Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynahutara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari.

Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhiMazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyimyang jugabermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kemabli konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Ibnu Taimiyyah( 1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 – 1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.

Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan HadisSahih Rasulullah s.a.w. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.

Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.

Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu. Muhammad bin Saud (pengasas pemerintahKerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.

Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antaraulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh.

Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:

* Dalam mempelajari ilmu Usuludinhendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.

* Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).

* Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.

* Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).

* Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi.

* Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik.

* Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya.

* Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.

* Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya.

* Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh.

* Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.

* Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.

* Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.

* Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.

* Amalan tariqah dilarang sama sekali.

* Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.

Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannyadi Malaysia.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lamaberakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyahdalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.

Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.